fb fb fb fb fb

Presiden Trump berlepas ke Jepun

Foto RTM

SEPANG, 27 Oktober - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini selepas selesai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di ibu negara.

Pesawat Boeing Air Force One yang membawa beliau berlepas dari KLIA pada pukul 10.06 pagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Trump dan delegasi.

Beliau sebelum itu telah diberikan upacara pelepasan pulang dengan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Kapten Muhammad Asyraf Zulkifli.

Turut mengiringi upacara itu, persembahan kebudayaan tarian dengan lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Terdahulu, kenderaan rasmi yang membawa Presiden Trump dilihat meninggalkan perkarangan hotel di ibu negara pada pukul 9.10 pagi.  

Sebelum itu, kenderaan rasmi yang membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat memasuki perkarangan lokasi penginapan beliau pada pukul 8.50 pagi. 

Beberapa konvoi delegasi antaranya dari India, Brazil dan Singapura juga dilihat berada di lokasi tersebut.

Lawatan rasmi Malaysia ini merupakan kunjungan sulung Presiden Trump ke Asia Tenggara sejak dipilih sebagai Presiden ke-47 AS pada Januari lepas, sekali gus mencerminkan hubungan kukuh dan strategik antara Kuala Lumpur dan Washington yang berteraskan saling menghormati, kemakmuran bersama serta aspirasi memperkukuh kerjasama dua hala.

Beliau yang dalam siri lawatan ke Asia dijadual ke Jepun selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini.

Seramai 30 pemimpin dan pegawai tinggi dari Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Australia dan Kanada menyertai sidang kali ini bagi membincangkan isu keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN