KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Malaysia terus menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap penderitaan rakyat Gaza serta menghargai semangat kemanusiaan ditunjukkan sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun sebahagian besar sukarelawan telah kembali dengan selamat, masih terdapat beberapa individu menghadapi kesukaran untuk pulang dan kini masih berada dalam tahanan rejim Zionis Israel.
“Usaha berterusan sedang dilakukan bagi memujuk dan membawa pulang mereka dengan selamat,” katanya ketika berucap selepas menyaksikan pementasan Teater Perdana Sungai Mengalir Lesu di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa perjuangan itu bukan sekadar soal kemanusiaan, tetapi juga lambang keteguhan rakyat Malaysia dalam menyatakan solidariti bersama masyarakat antarabangsa menentang penindasan.
“Rakan-rakan kita dalam flotila telah memberi sumbangan besar, bukan sahaja menunjukkan keberanian menentang kezaliman, malah membuktikan bahawa hak asasi manusia untuk menyatakan kebenaran dan menuntut keadilan tidak boleh dinafikan,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia turut mengingatkan dunia agar tidak terus lalai dibuai kemewahan dan penipuan, sedangkan rakyat Palestin terpaksa mengharungi kehidupan penuh kezaliman, kekejaman dan derita sejak sekian lama.