fb fb fb fb fb

Projek Perintis Perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bermula Ogos depan

KUALA LUMPUR, 26 Julai - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak bagi membangunkan Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, projek itu akan dilaksanakan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE Negeri Perak yang merangkumi semua perundangan yang sedang berkuat kuasa seperti Akta Pembangunan Mineral 1994, Enakmen Mineral (Perak) 2003, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.


(Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika menjawab pertanyaan wakil Merbok, Nor Azrina Surip)

Dokumen SOP yang dibangunkan itu telah diperhalusi oleh Jawatankuasa Eksekutif yang terdiri daripada pakar dalam bidang berkaitan perlombongan, hidrologi, hidrogeologi dan pembangunan lestari serta wakil daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan penggiat industri.

Dokumen itu juga dijadikan sebagai rujukan kepada semua agensi kerajaan dan penggiat industri bagi memastikan mampu memberikan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

Berdasarkan perancangan, aktiviti perlombongan dijangka dapat dimulakan seawal bulan Ogos 2022 dan hasil pertama dijangka dapat dikeluarkan pada
bulan November 2022.

"Mengambil kira status projek ini sebagai projek perintis, kementerian akan memastikan kawal selia yang rapi dibuat dengan menubuhkan jawatankuasa pemantau serta melantik penilai bebas bagi membuat pemantauan berkala serta membuat penilaian impak terhadap pelaksanaan aktiviti projek perintis yang dinilai di sudut keselamatan penggunaan kaedah in-situ leaching, penilaian terhadap sumber air bawah tanah dan air permukaan, penilaian kondisi tanah dan tanaman, kos pengeluaran mineral, impak limpahan ekonomi setempat dan kesihatan masyarakat di sekitar kawasan projek," katanya ketika menjawab pertanyaan wakil Merbok, Nor Azrina Surip.

Tambahnya pada masa ini, beberapa buah negeri lain seperti Kedah, Pahang, Kelantan dan Terengganu turut menunjukkan minat untuk melaksanakan aktiviti perlombongan NR-REE.

Sehubungan dengan itu, KeTSA sedang dalam tindakan untuk menyediakan SOP NR-REE Malaysia berdasarkan kepada SOP yang disediakan untuk negeri Perak.

Media Baharu