fb fb fb fb fb

Projek pembinaan penempatan semula Pos Pulat capai kemajuan 90 peratus

Projek Hidroelektrik Nenggiri di Pos Pulat/ BERNAMA

GUA MUSANG, 2 Julai- Projek pembinaan penempatan semula keluarga orang asli yang terlibat dengan Projek Hidroelektrik Nenggiri di Pos Pulat, di sini mencapai kemajuan 90 peratus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan struktur utama 93 buah rumah di Plot A untuk 93 keluarga berjaya dilaksanakan.

Menurut Mohd Azmawi Fikri, ladang getah bagi sektor ekonomi penduduk juga sudah siap ditanam.

"Struktur rumah sudah lengkap sebanyak 93 buah rumah dan mereka juga telah disiapkan dengan ladang getah untuk penduduk di Pos Pulat ini. Selepas ini hasil pendapatan untuk menyara keluarga mereka adalah daripada ladang getah berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu, penduduk kampung Pos Pulat Alek Itam berpuas hati selepas melihat perkembangan projek pembangunan baharu di kawasan tersebut.

"Jarak mengambil masa kira-kira 30 minit. Rumah telah siap, menurut TNB sekiranya pemasangan meter segera dilakukan, maka kami pun akan berpinda.

"Tetapi kami menunggu arahan semasa yang dikeluarkan sebelum berpindah ke sana," katanya.

Bagi Ani Adam, dia bersyukur dengan pembinaan rumah baharu dan penempatan semula penduduk Pos Pulat.

"Macam-macam ada termasuk kebun getah. Saya suka sangat dan tidak sabar untuk berpindah ke rumah baru. Kalau boleh nak segera berpindah," katanya dengan nada gembira.

Projek Hidroelektrik Nenggiri di Sungai Nenggiri menelan kos RM5 bilion bakal menjana 300 megawatt (MW) sumber tenaga boleh baharu.

Projek yang dimulakan sejak Mac 2022 itu akan membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer (km) persegi dan Kolam Pengaturan Aliran seluas 0.97 km persegi dijangka beroperasi pada November 2027.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI