fb fb fb fb fb

Polis siasat kemungkinan bom mortar peninggalan Perang Dunia

Foto BERNAMA

IPOH, 2 Julai - Polis sedang menjalankan siasatan penuh berhubung penemuan bom mortar di Kilometer 265, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahan letupan itu peninggalan Perang Dunia Kedua.

"Laporan kita terima, ia memang bahan letupan mortar dan siasatan masih dijalankan bagaimana ia boleh ada di situ, sama ada peninggalan daripada Perang Dunia Kedua atau peninggalan masa sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis penganugerahan pangkat untuk pegawai kanan polis dan serah terima tugas Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Perak, serta Ketua Polis Daerah Gerik dan Kerian di sini.

Menurut Noor Hisam, bahan letupan itu ditemui oleh kakitangan lebuh raya PLUS semasa kerja pembersihan landskap dijalankan di lokasi kejadian dan telah diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom Kontinjen Perak.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak bertindak sendiri, sekiranya menemui objek mencurigakan yang menyerupai bahan letupan.

MASNIZA AWANG KECHIK