fb fb fb fb fb

JPJ akan lakukan penyamaran, kesan penumpang tidak pakai tali keledar

Azrin Borhan

SEPANG, 2 Julai- Anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan penyamaran di dalam bas ekspres dan bas persiaran bagi mengesan penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar.

Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata, pemeriksaan akan tertumpu di terminal utama, hentian rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya utama serta di kawasan tumpuan pelancong.

"Operasi ini secara berterusan dan saya telah maklumkan tadi, kita akan membuat pemeriksaan secara penyamaran di dalam bas. Kita akan memantau dan menguatkuasakan undang-undang yang ada semasa di dalam bas. 

"Kita akan saman penumpang yang tidak memakai tali pinggang kaledar sebabnya rata-rata pemandu telah memaklumkan kepada penumpang sebelum mulakan perjalanan.

"Jadi kita akan saman penumpang yang tidak patuh kepada arahan tersebut, bagi individu bawah 18 tahun, kita akan bagi notis peringatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Op Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bas Ekspres dan Bas Persiaran di R&R Dengkil, di sini.

Individu yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM4,000 atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Azrin Borhan turut memaklumkan bahawa tiada penumpang ingkar memakai tali pinggang keledar menerusi pemeriksaan ke atas 56 bas ekspres dan 23 bas persiaran di Selangor.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI