SEBERANG PERAI, 16 Februari- Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas akan dipercepatkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan penuh mengenai projek itu akan diperincikan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
"Pulau Pinang menjadi satu tarikan pelancongan yang sangat berjaya dan LTAPP sudah sesak, jadi sebab tu kerajaan setuju untuk memperbesar, ini memerlukan kajian. Jadi saya tanya ketua menteri ikut Kerajaan Persekutuan mungkin bermula akhir tahun. Saya tak puas hati, jadi insya-Allah hari Rabu minggu depan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saya nak tahu boleh tak kita percepatkan dana diluluskan, kita percepatkan kerana ia akan mengambil masa dua ke tiga tahun untuk dia 'take off' jadi kita kena percepatkan program itu. Kita ada keupayaan untuk melakukan itu," kata Anwar ketika berucap pada Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai, di sini.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan yakin mampu mencapai pertumbuhan Keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih kukuh sehingga 5 peratus tahun ini.
Ia disokong asas yang kukuh dan pembaharuan yang digariskan dalam Ekonomi MADANI dan Belanjawan 2024.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata kerajaan bertekad mengecilkan defisit fiskal kepada 4.3 peratus tahun ini.
Defisit fiskal berjaya dikurangkan kepada 5 peratus pada 2023, berbanding 5.6 peratus pada 2022.
Belanjawan 2024 menekankan komitmen kerajaan terhadap pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dan penyasaran semula subsidi.
Penjimatan daripada langkah tersebut dapat disalurkan sebagai bantuan kepada golongan rentan serta meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan awam.