fb fb fb fb fb

PERKESO catat aliran fiskal cemerlang 2023

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong (tengah) menggaul "Yee Sang" sempena Program Kesuma Madani Tahun Baharu Cina di Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 16 Februari- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mencatatkan aliran fiskal cemerlang sekali gus meningkatkan kemampanan dana dan kemampuan pembayaran faedah kepada Orang Berinsurans (OB) termasuk tanggungan kepada RM5.73 billion pada tahun 2023 berbanding RM5.1 billion tahun sebelumnya.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata prestasi kewangan tahun 2023 merupakan yang terbaik sejak ditubuhkan pada tahun 1971 dengan anggaran lebihan mencecah RM1.8 billion dan peningkatan sebanyak 50 peratus.

"Peningkatan sebanyak 50 peratus atau 1.5 kali ganda berbanding tahun sebelumnya dan antara faktor pendorong pada penyampaian PERKESO terbaik adalah hasil pendapatan caruman dan penguatkuasaan yang menyaksikan pertumbuhan positif sebanyak 14 peratus serta peningkatan pendapatan pelaburan kasar kepada 27 peratus dengan 'Return on Investment' (ROI) melebihi enam peratus ", kata Steven Sim Chee Keong.

Ia juga hasil langkah strategik PERKESO dengan meningkatkan siling gaji yang diinsuranskan daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan, pelaksanaan had gaji minimum RM1,500 serta pindaan Akta Kerja 1955 bagi liputan bayaran kerja lebih masa.

Prestasi kewangan yang baik dan ruang fiskal lebih dinamik membolehkan PERKESO menampung pemerluasan faedah dan menyuntik pelaburan semula.

Beliau ditemui dalam Program Kesuma Madani Tahun Baru Cina di sebuah hotel di Johor Bahru.

Sementara itu dalam majlis sama, turut dilancarkan modul tambahan aplikasi PRIHATIN bagi memudahkan OB berususan dengan PERKESO.

Aplikasi yang telah ditambah baik ini akan membolehkan pengguna menyemak dan memuat turun penyata caruman, pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan lain-lain.

ROSLINA BINTI DIN