fb fb fb fb fb

Projek LRT di Pulau Pinang akan disegerakan

Foto FB Anwar Ibrahim

BATU KAWAN, 16 Februari- Kerajaan Persekutuan mahu menyegerakan pelaksanaan Transit Aliran Ringan (LRT) dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Ia berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat pembangunan Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3), merupakan satu bentuk kejayaan besar dalam sektor perindustrian, sekali gus memberi impak kepada infrastruktur jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang di negeri tersebut.

"Sejarah Pulau Pinang memang istimewa, melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang telah meneroka industri agak awal dan melakar perubahan struktur pertumbuhan ekonomi negara.

"Kita juga akui lonjakan program industri dan kemajuan di Pulau Pinang telah memberi tekanan kepada infrastruktur di negeri itu daripada segi jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang," kata Anwar kepada pemberita semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah BKIP 3, petang tadi.

BKIP 3 berkeluasan bersih 407 ekar akan dibangunkan dalam empat fasa, termasuk fasa pertama seluas 60 ekar dan dijangka siap pada tahun 2025.

Ia melibatkan kos bernilai RM2.2 bilion.

Taman perindustrian ke-10 yang dimajukan PDC, merupakan kesinambungan kepada Taman Perindustrian Batu Kawan atau 'Batu Kawan Industrial Park'.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM