fb fb fb fb fb

1MDB: Pertuduhan terhadap Najib tidak cacat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Februari- Mahkamah Tinggi dimaklumkan bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak cacat.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin (37) memberitahu demikian ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB ke atas bekas perdana menteri itu.

Muhammad Shafee sebelum itu mencadangkan kepada saksi pendakwaan ke-49 tersebut bahawa pertuduhan berkenaan adalah cacat memandangkan sebahagian besar dokumen melalui Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) dari Singapura hanya diperoleh selepas beliau didakwa.

Bagaimanapun, Nur Aida membalas, pihaknya membuat permintaaan kepada kerajaan Singapura untuk mendapatkan dokumen terbabit sebelum Najib didakwa.

Malah, sebahagian besar dokumen melalui MLA diperoleh sebelum pendakwaan dikemukakan terhadap Najib.

Nur Aida menjelaskan, Timbalan Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan set dokumen MLA dari negara berbeza seperti Hong Kong, Switzerland dan Singapura.

Bagaimanapun, beliau tidak turut serta ketika Timbalan Pendakwa Raya terbabit menerima dokumen berkenaan dari luar negara.

Najib berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah dijadual bersambung Isnin ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM