fb fb fb fb fb

Projek Pembangunan Rakyat Berimpak Tinggi KPKT libatkan empat fokus utama

Nga Kor Ming pada sidang media selepas mengadakan sesi lawatan penutup 'Program Sentuhan Kasih Sayang KPKT' di Bazar Rakyat, Seri Kembangan, Selangor

SERI KEMBANGAN, 28 Disember- Projek-projek sosioekonomi yang dilaksanakan bawah Projek Pembangunan Rakyat Berimpak Tinggi oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi keutamaan kepada usaha menaik taraf premis perniagaan, pasar, bazar, dan gerai makan.

Menterinya, Nga Kor Ming menjelaskan, KPKT mengagihkan peruntukan projek mengikut skop serta perancangan yang teliti dan rapi yang dibahagikan kepada empat fokus utama.

Beliau berkata, bagi skop sosioekonomi, ia melibatkan pelaksanaan keseluruhan 746 projek merangkumi 282 projek gerai, pasar malam dan medan selera; 115 projek untuk pasar dan kiosk (349 projek).

Manakala dalam aspek kemudahan awam; sebanyak 476 projek telah dilaksana melibatkan 77 projek untuk dewan, tandas (186) serta lain-lain kemudahan sebanyak 213 projek.

"Dari segi kemudahan awam kita telah melaksanakan 476 projek. Dari segi keselamatan termasuk baik pulih cerun-cerun bukit untuk elakkan tanah runtuh, kita telah melaksanakan 33 projek.

"Dari aspek infrastruktur, jalan (776 projek), parit dan longkang (977 projek), kolam takungan banjir (469 projek), lampu jalan (1,515 projek) dan lain-lain infrastruktur (204 projek). Jumlah keseluruhan projek bawah skop infrastruktur sebanyak 3,941 projek,"katanya.

Sementara itu, sebanyak 5,196 projek pembangunan rakyat berimpak tinggi berjaya dilaksanakan KPKT,sepanjang tahun ini dengan peruntukan RM700 juta.

Ia meliputi usaha ke arah meningkatkan kualiti hidup dan menjayakan peluang ekonomi masyarakat setempat melalui pembangunan fizikal dan sosioekonomi.

Nga mejelaskan, ia merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah pencapaian KPKT berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Keseluruhan 5,196 projek tersebut memberi tumpuan kepada empat keutamaan iaitu sosioekonomi, kemudahan awam, keselamatan dan infrastruktur.

"Antara pembangunan utama yang diberi penekanan termasuklah pembinaan dan peningkatan infrastruktur awam seperti parit, longkang, jalan, laluan pejalan kaki, lampu jalan. Selain itu, pembangunan kemudahan awam seperti dewan serbaguna, kemudahan sukan dan rekreasi, pondok bas, dan tandas awam bertaraf BMW (Bersih, Menawan, Wangi) juga diberikan perhatian yang serius,"katanya.

Beliau menyatakannya dalam sidang media selepas mengadakan sesi lawatan penutup 'Program Sentuhan Kasih Sayang KPKT' di Bazar Rakyat, Seri Kembangan, Selangor.

Tambahnya, pertambahan peruntukan sebanyak 43.1 peratus iaitu daripada RM489 juta pada tahun 2022 kepada RM700 juta tahun ini, membuktikan kejayaan serta kecekapan KPKT dalam menyusun strategi pembangunan yang berkesan dan memberi impak besar kepada rakyat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE