fb fb fb fb fb

PADU 100% dibangunkan penjawat awam, “bukan nak buat duit”

Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Disember - Pangkalan Data Utama (PADU) yang bakal diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari depan, dibangunkan seratus peratus oleh penjawat awam menggunakan peruntukan sedia ada.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menerusi Facebook rasmi beliau, PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam dari tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan – DOSM dan MAMPU; melibatkan kerjasama semua agensi lain.

“Bagi saya, padunya PADU ini kerana ia melibatkan keseluruhan kepakaran dan tenaga penjawat awam, bukan consultant dan kontraktor luar”, tegas Rafizi.

Beliau menyatakan perkara itu bagi menjawab suara sumbang menuduh kononnya pembangunan sistem PADU satu pembaziran kerana melibatkan kontrak beratus juta ringgit.

“Jadi saya tidak terkejut bila ada suara sumbang yang menuduh kononnya pembangunan sistem PADU ini adalah satu pembaziran kerana melibatkan kontrak beratus juta ringgit. Saya memang tunggu perkara ini ditimbulkan”, kata Rafizi.

Tambahnya pembangunan PADU dibuat menggunakan peruntukan sedia ada termasuk infrastruktur tanpa perlu membuka tender baharu kepada pihak swasta. Justeru ia tidak melibatkan perbelanjaan tambahan seperti kebiasaan setiap kali ada sistem baharu yang diperkenalkan kerajaan.

Selain itu PADU berjaya dibangunkan dalam tempoh masa sangat singkat iaitu tujuh bulan (dari Mei 2023 hingga Disember 2023).

“Ia mengatasi pelaksanaan projek-projek sistem yang dikendalikan oleh pihak swasta sebelum ini dari segi keupayaan menyiapkan sistem untuk keperluan kerajaan dan rakyat dalam tempoh yang begitu singkat.

“PADU tidak akan melibatkan pembayaran setiap tahun kepada penyedia sistem pihak swasta seperti yang selalu berlaku kerana ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam dan milik kerajaan sepenuhnya," jelas Rafizi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam dan keseluruhan anggota pasukan dari pelbagai agensi yang telah bertungkus lumus sejak Mei 2023 sehinggalah PADU dapat diluncurkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari nanti.

“Saya berdoa kewujudan PADU akan membawa perubahan besar kepada khidmat awam dari kerajaan kepada rakyat. Memang pasukan teras yang mengusahakan PADU akan terus berdepan dengan cabaran, tetapi jika ada pujian mengenai PADU, pujian itu layaknya kepada penjawat awam,” kata Rafizi.

Selepas Majlis Peluncuran PADU sistem itu akan dibuka selama tiga bulan untuk semua warganegara mengesahkan dan mengemas kini data sosioekonomi masing-masing.

“Bila masuk ke PADU nanti, maklumat yang ada dalam semua pangkalan data kerajaan (lebih 270+ kesemuanya) memang sudah tersedia. Contohnya maklumat peribadi (nama, kad pengenalan, umur, jantina dan lain-lain), maklumat pendapatan, maklumat kenderaan, maklumat anak dan tanggungan dan lain-lain.

“Tetapi ia perlu disahkan dan dikemas kini untuk memastikan data kerajaan itu berlaku adil kepada rakyat kerana data dari PADU akan digunakan untuk menyasarkan subsidi kepada golongan yang layak kelak.”

Menteri Ekonomi itu turut menyatakan bahawa proses membina PADU melibatkan pembangunan sistem data paling besar pernah dibuat oleh sektor awam’ melibatkan berpuluh-puluh perincian data (nama, umur, jantina, isi rumah dan lain-lain) bagi setiap dari 32 juta rakyat Malaysia yang membentuk ratusan juta titik data (data points) dalam PADU.

MAT YUNUS BIN SABRI