fb fb fb fb fb

Hakisan tanah: Laluan Jambatan Jalan Temerloh-Jerantut ditutup

FOTO FACEBOOK 'THIS IS KUALA KRAU'

TEMERLOH, 28 Disember- Laluan di jambatan Jalan Temerloh-Jerantut ditutup kepada semua jenis kenderaan ekoran berlaku hakisan tanah di permukaan dinding penampan jambatan itu.

Menerusi laporan laman sesawang Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Temerloh, hakisan itu berlaku disebabkan oleh arus deras air banjir yang berlaku pada pukul 10 malam tadi.

Runtuhan berkenaan dikategorikan sebagai kritikal dan tidak selamat dilalui oleh semua kenderaan.

"Orang ramai boleh menggunakan laluan lencongan ke jambatan baru yang dibuka dua hala untuk sementara waktu.

"Ketika ini pihak JKR telah memasang tanda amaran lencongan di tapak runtuhan tersebut, dan pemantauan berterusan di kawasan runtuhan turut dilakukan dari semasa ke semasa.

"Malah pihaknya juga telah menghantar notis permohonan untuk pembaikan,"menurut kenyataan tersebut.

Orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut berkenaan status bencana yang melibatkan laluan di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di Portal eBencana JKR di laman web http://bencanaalam.jkr.gov.my dan di talian hotline 03-26107727.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE