LABUAN, 28 Oktober- Empat projek pembaikan infrastruktur bekalan air berjumlah RM111 juta dalam peringkat pembinaan dijangka selesai hujung tahun ini dan pertengahan tahun hadapan.
Ia melibatkan penggantian paip sepanjang 42 kilometer.
Bahagian Bekalan Air (BBA) Labuan menerusi satu kenyataan memaklumkan, di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), penggantian paip pam di pulau Enoe antara yang sedang dilaksanakan.
Ia sebahagian komponen paip utama membekalkan air bersih daripada Loji Rawatan Air Lawa Gadong, Beaufort, Sabah ke pulau itu.
Selain empat projek jangka pendek bernilai RM25 juta dan satu projek ‘sekali laksana’ bernilai RM2.5 juta juga dalam fasa pembinaan.
Kenyataan itu turut menyebut, enam projek kini dalam peringkat prapelaksanaan yang berjumlah RM205 juta bagi mengatasi masalah paip usang yang sering pecah.
Program air tidak terhasil Non-Revenue Water (NRW) pula melibatkan penggantian paip usang sepanjang 130 kilometer.
Ia dijangka bermula tahun hadapan sehingga 2030 melalui pembayaran geran.
Menurut Timbalan Pengerusi, Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, kesemua pelaksanaan projek pembangunan akan menyebabkan beberapa siri penutupan bekalan air oleh pihak BBA Labuan.
“Proses penambahbaikan perlu dipercepat dan proses penjelasan dan penerangan perlu seiring dengan sejauh mana pergerakan penambahbaikan itu supaya tiada banyak persoalan dan akhirnya kerajaan dianggap lemah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Bertemu Pelanggan peringkat Labuan 2024 di Perkarangan BBA Labuan, pagi tadi.
Hadir sama Ketua Bahagian Bekalan Air Labuan, Trinil Indah Puspita Herry Sunjoto.
Terdahulu, kerajaan memperuntukkan RM300 juta menerusi Belanjawan 2024 bagi meningkatkan infrastruktur bekalan air di pulau tersebut.