LANGKAWI, 1 Disember - Projek naiktaraf bangunan di pintu masuk antarabangsa Pulau Langkawi, Telaga Harbour, siap sepenuhnya mengikut jadual, bertujuan memberi keselesaan kepada pengunjung dan pelancong yang tiba menerusi pelayaran kapal.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Fuad Che Ani @ Abd Ghani, berkata projek bernilai RM1.5 juta itu memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan imej destinasi berada pada tahap lebih baik selari dengan keperluan industri pelancongan semasa.
Beliau menambah, seramai 70,000 pengunjung dan pelayar direkodkan menggunakan pintu masuk antarabangsa Telaga Harbour setiap tahun.
“Ia juga merupakan salah satu pintu masuk daripada Phuket dan sebagainya ke Langkawi. Komponen di sini terdiri daripada bangunan terminal dan CIQ untuk proses kastam, imigresen dan sebagainya bagi mengikut keperluan keluar masuk negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada majlis penyerahan rasmi dua projek naik taraf di Telaga Harbour.
Naiktaraf itu meliputi pembesaran ruang, penyediaan tambahan keperluan Orang Kurang Upaya, naiktaraf ruang menunggu, laluan pontoon serta lanskap, bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan pengunjung.
FOTO RTM