fb fb fb fb fb

Melaka siap siaga hadapi fenomena air pasang besar

Fenomena air pasang besar dijangka melanda negeri Melaka bermula Isnin hingga 9 Disember/foto BERNAMA

AYER KEROH, 1 Disember - Semua agensi dan jabatan di Melaka diarah sentiasa bersiap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan risiko bencana, khususnya di kawasan persisir pantai. 

Ia susulan amaran fenomena air pasang besar yang dijangka melanda negeri itu bermula hari ini hingga 9 Disember nanti. 

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri telah mengeluarkan amaran dan semua agensi dan jabatan di negeri itu akan dikerah pada bila-bila masa jika perlu.

Beliau juga meminta penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berhati-hati serta mengambil langkah persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. 

"Antara kawasan berisiko tinggi mengalami fenomena air pasang besar di Melaka adalah Kampung Tanjung Bidara, Kampung Padang Kemunting, Kampung Telok Gong, Kampung Tanjung Dahan, Kampung Pengkalan Balak dan Kampung Kuala Linggi.

"Kawasan lain membabitkan Kampung Pengkalan Rama Pantai, Pantai Puteri, Kampung Sebatu, Kampung Pantai Siring, Kampung Padang Temu Pantai, Pantao Kundur, Kampung Pulai, Banda Kaba, Kampung Lereh dan Alai Perdana selain Kampung Permatang, Kampung Umbai dan Parit China Pasir, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka 2025 di MITC Ayer Keroh. Dalam majlis berkenaan, seramai 55 peguam syarie ditauliah dan lapan orang menerima tauliah khas.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI