MACHANG, 2 Julai- Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kelantan dijangka siap sepenuhnya September tahun depan.
Ia mengalami kelewatan 25.79 peratus atau 143 hari berbanding jadual asal.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kelewatan disebabkan beberapa faktor khususnya keperluan utiliti dan bahan binaan.
"Masalah dari segi pekerja mahir dan juga utiliti, tapi semua itu kita sedang bantu untuk selesaikan.
"Sekarang pihak Kementerian Pengangkutan dan kontarktor telah memberi tumpuan khusus untuk mengatasi masalah yang dihadapi supaya projek pembesaran dan naik taraf LTSIP dapat kembali mengikut jadual," katanya.
(Nik Nazmi Nik Ahmad)
Nik Nazmi yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan menyatakan demikian pada sidang media selepas lawatan ke tebing Sungai Kelantan bagi Projek Jambatan dari Kampung Joh ke Kampung Belimbing, di sini hari ini.
Tambah beliau, ketika ini, kemajuan sebenar projek adalah 30.58 peratus berbanding jadual asal iaitu 56.37 peratus.
Projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP yang menelan belanja lebih RM440 juta adalah bagi menambah baik fasiliti serta meningkatkan kapasiti terminal lapangan terbang daripada 1.5 juta penumpang kepada empat juta orang setahun.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi memakumlan Kerajaan Persekutuan meluluskan 42 projek bawah program Jalan dan Jambatan Luar Bandar (JALB) berjumlah RM1.44 bilion menerusi Rolling Plan Ketiga (RP3) RMKe-12 di Kelantan.
Bagi tahun pelaksanaan 2023, hampir RM123 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan projek berkenaan.