(Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat
Jemaah Menteri pada Rabu ini)
SEPANG, 2 Julai- Perdana Menteri memberi jaminan siasatan rapi akan dibuat berhubung dakwaan isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pegawai Jabatan Imigresen di KLIA baru-baru ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini.
"Cuma mungkin ada beberapa masalah kita adakan siasatan untuk perbaik atau kalau ada kesilapan kita ambil tindakan yang wajar.
"Saya cuba teliti langkah-langkah yang diambil setakat ini dan saya lihat memang Imigresen buat respons yang sangat baik dan positif.
"Yang harus kita kenal pasti ialah beberapa kelompok kecil yang masih tidak mampu membawa perubahan termasuk berdepan dengan beberapa tuduhan," katanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilaksana segera bagi memastikan urusan yang melibatkan Imigresen berjalan lancar.
"Urusan dan pengoperasian Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen (JIM) di KLIA adalah terkawal," tambah Anwar yang mengadakan lawatan mengejut ke pintu masuk utama negara itu, hari ini.
Beliau melakukan tinjauan itu bagi melihat sendiri keadaan petugas JKDM dan JIM susulan satu insiden yang melibatkan orang kenamaan baru-baru ini.
Anwar berkata terdapat beberapa permasalahan di kedua-dua jabatan itu, yang akan disusuli dengan siasatan bagi penambahbaikan dan tindakan wajar.
“Ada beberapa kerosakan Kastam yang harus kita baiki. Umumnya majoriti pekerja dan petugas Imigresen berjalan dengan baik. Cuma ada beberapa masalah, kita adakan siasatan untuk perbaik atau kalau ada kesilapan, akan diambil tindakan wajar,” katanya.
Tanpa diringi menteri Kabinet atau orang kenamaan, Anwar mengadakan lawatan mengejut kira-kira 30 minit di KLIA itu, sebelum menyertai upacara keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke tanah air, selepas menunaikan ibadah haji di Kompleks Bunga Raya, KLIA di sini.
Anwar berkata beliau akan meneliti langkah-langkah penambahbaikan yang telah diambil dan harus dilakukan.
(Yang di-Pertuan Agong bersama Datuk Seri Anwar sebelum berangkat pulang ke Istana
Negara selepas kembali ke tanah air dari menunaikan ibadah haji/BERNAMA)