fb fb fb fb fb

40 perumahan terbengkalai dalam proses diselamatkan - KPKT

PUTRAJAYA, 2 Julai- 40 daripada 112 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara dalam proses diselamatkan menerusi beberapa inisiatif Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Setakat April, sejumlah 105 merupakan projek lama yang bermula sebelum 2015, manakala selebihnya selepas tahun berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pihaknya sedang berbincang dengan pemaju lain untuk menyelamatkan projek perumahan terbengkalai atau melalui likuidasi.

"Kaedah penyelesaian projek terbengkalai ini melalui proses mahkamah, kedua melalui proses rundingan pihak pembeli iaitu mungkin kita nak ubah dari segi kebenaran merancang, mungkin kita ada tambah, tolak jumlah binaan atau ketiga sebenarnya jika projek itu tiada lagi kemampuan dan daya saing.

"Jumlah pembeli itu mungkin terlalu rendah, mungkin cadangan atau nasihat itu adalah untuk pihak pemaju pulangkan balik segala wang dan kita tutup projek itu," katanya.

(Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir)

Beliau berkata demikian selapas menghadiri program Ibadah Korban KPKT bersama warga bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14, di sini hari ini.

Tambah Akmal, projek perumahan yang dikategorikan terbengkalai adalah selepas menepati kriteria ditetapkan dalam Akta 118 Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1966, termasuk jika tiada sebarang kerja-kerja dilakukan di kawasan projek sepanjang tempoh enam bulan.

Terdahulu, pada majlis Ibadah Korban KPKT, sejumlah lapan ekor lembu berjaya ditumbangkan hasil penyertaan warga kementerian dan jabatan serta sumbangan agensi bawah KPKT.

Daging diagihkan kepada para peserta, petugas media, warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kementerian termasuk penerima yang terdiri daripada 250 orang golongan asnaf berdaftar dengan program eKasih Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Turut hadir sama, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Media Baharu