GEORGE TOWN, 1 Mac- Projek pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) akan dimulakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya sudah mengarahkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) memulakan segera projek itu dengan tender terbuka perlu dilakukan dalam tempoh dua bulan.
Menurutnya, kerajaan pusat melihat projek pembesaran dan menaik taraf LTAPP merupakan keperluan mendesak ketika ini memandangkan lapangan terbang tersebut sudah mengendalikan kapasiti penumpang melebihi kemampuan iaitu 6.5 juta orang setahun.
Sebagai contoh katanya LTAPP pada 2019 iaitu sebelum bermulanya pandemik COVID-19 mengendalikan sehingga 8.33 juta penumpang, malah seramai 4.27 juta penumpang direkodkan tahun lalu meskipun pembukaan sempadan negara hanya dibuka pada bulan April.
Tambahnya, keseluruhan pembiayaan bagi projek itu akan dibiayai sepenuhnya oleh MAHB dan hanya akan melibatkan kawasan sedia ada tanpa membabitkan pengambilan tanah seperti projek tambak baharu atau pengosongan kawasan sekolah.
(FOTO FAIL)
"Dengan adanya pengumuman daripada Menteri Kewangan, maka saya telah mengarahkan MAHB percepatkan proses. Conceptual design sudah ada, kita akan lengkapkan semua dokumen dan akan panggil tender dalam masa terdekat.
“Projek pembesaran dan naik taraf LTAPP ini dijangka mengambil masa antara tiga empat tahun dan apabila siap kelak mampu menampung sekali ganda kapasiti penumpang ketika ini iaitu kira-kira 12 juta orang setahun.
“Dengan adanya projek pembesaran dan naik taraf LTAPP itu, ia dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada penumpang,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di George Town.
Terdahulu, Anthony mengadakan lawatan kerja rasminya ke Pulau Pinang dengan meninjau operasi perkhidmatan awam di negeri itu termasuk melawat LTAAP dan menaiki feri sebelum pulang ke ibu negara menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS).
Sementara itu, dalam sidang media sama Anthony Loke memaklumkan kerajaan persekutuan sedang mempertimbangkan untuk mengembalikan feri ikonik negeri itu yang telah tamat operasi pada 2020.
Justeru beliau akan meneliti cara untuk operasi semula feri berkenaan sama ada akan dijadikan sebagai feri pelancongan, feri muzium atau feri roro.
Perbincangan mengenainya akan diadakan dalam masa terdekat dengan Suruhanjaya Perlabuhan Pulau Pinang (SPPP).