(Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ferdinand R Marcos Jr selepas mengadakan sidang media bersama pada lawatan rasmi ke Filipina di Istana Malacanang/BERNAMA)
MANILA, 1 Mac- Terus perkukuh hubungan dan menjalin kerjasama baharu dalam pebagai sektor antara kata sepakat yang dicapai dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Junior di Manila.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan diberikan kepada industri halal, keterjaminan makanan dan ekonomi digital.
(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika mengadakan sidang media
bersama pada lawatan rasmi ke Filipina di Istana Malacanang/BERNAMA)
"Presiden Filipina dan saya juga bersetuju bahawa kedua-dua negara harus meningkatkan perdagangan dan pelaburan. Ia permulaan yang baik dan tiada alasan untuk tidak meningkatkan perdagangan dan pelaburan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
"Kami juga bersetuju untuk mengeratkan lagi hubungan antara rakyat yang sedia ada bagi merapatkan kerjasama pelancongan dan kebudayaan, pendidikan dan sukan", katanya.
Datuk Seri Anwar berucap menerusi kenyataan bersama Presiden Filipina di Istana Malacanang.
Tambah beliau, menjadi tanggungjawab kedua-dua negara untuk saling menyokong dalam mencapai matlamat tersebut.
Lawatan Perdana Menteri ke Filipina turut disertai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick serta pegawai kanan Wisma Putra dan agensi berkaitan.