fb fb fb fb fb

Banjir: Lebih 300 calon SPM tidak dapat hadir ke dewan peperiksaan

JOHOR BAHRU, 1 Mac- 390 orang calon SPM di enam daerah di Johor tidak dapat hadir dewan peperiksaan akibat banjir.

Ia melibatkan 36 sekolah termasuk lima pusat peperiksaan juga tidak dibuka kerana kertas soalan tidak dapat dibawa.

Menurut Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh, 14 daripada sekolah terjejas terletak di Segamat, tujuh lagi Kluang dan enam di Johor Bahru.

Selain empat sekolah di Kota Tinggi, tiga di Kulai dan dua di Batu Pahat.

Sementara itu, 163 calon terpaksa menumpang di pusat peperiksaan lain.

174 calon selamat sampai di pusat peperiksaan dengan sebahagiannya bermula lewat.


(Pasukan 5 RAMD membantu membawa pelajar yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM)dan guru ke pusat peperiksaan)

Mereka terdiri daripada pelajar SMK Sungai Tiram dan SMK Kota Masai (enam), Pasir Gudang; SMK Dato Abdul Rahman Yassin (tiga), SMK Taman Damansara Aliff (satu), SMK Majidi Bahru 2 (dua) dan SMK Taman Sutera (dua) di Johor Bahru.

Di Kulai, melibatkan SMK Bukit Batu (dua), SMK Bandar Tenggara (lima); di Kluang membabitkan empat di SMK Seri Kota Paloh, SMK Kahang (tiga), SMK Seri Perdana (dua), SMK Paloh (20) manakala di SMK Yong Peng, Batu Pahat membabitkan lima pelajar.

Kesemua pelajar terlibat dijadual menduduki peperiksaan Sains dan Fizik pada sebelah pagi manakala Sains Rumah Tangga pada sebelah petang.

Johor mula dilanda banjir sejak malam tadi dengan mangsa banjir sebanyak 2,162 orang melibatkan 581 keluarga di lima daerah iaitu Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kulai.

Media Baharu