fb fb fb fb fb

Projek myKP Kedah catat pengeluaran lebih RM31 juta

Foto RTM

ALOR SETAR, 18 Jun- Projek myKomuniti Perikanan (myKP) di Kedah berjaya mencatat pengeluaran sebanyak 5,676.34 tan metrik dengan nilai melebihi RM31.79 juta sejak tahun 2022 hingga 2024.

Ia membuktikan bahawa program berasaskan komuniti itu mampu memberi impak besar kepada ekonomi tempatan.

Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris berkata, sepanjang tempoh tiga tahun itu, sebanyak 32 myKP berjaya ditubuhkan dengan jumlah keahlian mencapai 856 orang.

Jelas beliau, myKP merupakan satu inisiatif berstruktur yang diwujudkan untuk memperkasakan penglibatan komuniti dalam usaha pemuliharaan, pengurusan sumber perikanan serta pembangunan ekonomi berkaitan perikanan secara bersepadu dan mampan.

Katanya, antara objektif utama myKP termasuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan komuniti terhadap kepentingan sumber perikanan dan ekosistem akuatik dan membina jaringan kerjasama antara komuniti serta agensi kerajaan dalam pengurusan sumber perikanan tempatan.

Selain itu, myKP menyediakan platform latihan, bimbingan dan sokongan kepada komuniti dalam pemprosesan hasil, teknologi perikanan, serta aktiviti ekonomi tambahan.

Ia turut berperanan sebagai mata dan telinga komuniti dalam menangani isu pencerobohan, pencemaran dan penangkapan haram.

"Apabila wujudnya myKP, pelbagai bentuk bantuan dan juga peruntukan yang boleh kita salurkan untuk mereka ini dan juga sebagai wadah untuk kita nak melaksanakan latihan daripada segi pemprosesan, pembaikan enjin dan pelbagai bentuk bantuan lagi yang boleh kita laksanakan kerana komuniti nelayan telahpun wujud di situ," katanya.

Katanya kepada pemberita selepas Program Inventori Perikanan Darat dan Pemburuan Spesies Ikan Asing Peringkat Negeri Kedah tahun 2025 serta Program Pengukuhan Kumpulan Sasar di Masjid Alor Madi, Anak Bukit di sini.

Program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab Ghani.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM