KUALA LUMPUR, 16 Julai - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2025 kepada 13 penerima cemerlang di Istana Negara, hari ini.
Mereka terdiri daripada 10 penerima bagi pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan tiga penerima peringkat Sarjana (Penyelidikan) dalam bidang pengajian kritikal yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.
Penerima BYDPA peringkat PhD ialah Mohamad Fariz Haiqal Mohd Ruslan (Farmakologi dan Farmasi) King's College London; Karen Low Ka Ling (Farmakologi dan Farmasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Muhammad Hamizan Zawawi (Biologi) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Muhamad Aiman Hakim Nor Khalid (Matematik dan Statistik) UKM.
Penerima lain, Sarah Dania Mohd Kahar (Undang-undang Komersial) Universiti Malaya (UM); Teoh Shu Jou (Pengurusan Data) UM; Ahmad Firdaus Ahmad Sukri (Bioteknologi) USM; Nurul Angelyn Zulhairy Liong (Genetic dan Heredity) UM; Nur Zakirah Jasni (Sains Veterinar) University of Melbourne dan Nurfatima Azzahra Fadli (Biokimia) UKM.
Manakala tiga penerima peringkat sarjana pula adalah Fatini Nadiah Mohammad Zamzami (Biokimia) UKM; Tiew Siew Jin (Bioteknologi) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Yugashini A/P P Muhilan (Biomedical Materials) UKM.
Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, serta Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dato’ Jamalulail Abu Bakar.
Wan Ahmad Dahlan ketika ditemui media memaklumkan JPA akan menjalankan kajian impak terhadap program BYDPA yang telah melebihi dua dekad pelaksanaan.
"Ia telah melewati tempoh 20 tahun di mana kita merasakan kita perlu melihat dari segi keperluan semasa berkaitan dengan kaedah dan juga bidang-bidang yang akan ditawarkan kepada pelajar-pelajar itu nanti. Jadi terima kasih, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Tuanku untuk mengurniakan biasiswa Yang di-Pertuan Agong pada pagi ini," katanya.
Penerima BYDPA turut melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas biasiswa yang diberikan kepada mereka.
"Saya berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan pihak JPA atas pengurusan biasiswa ini. Rancangan saya adalah untuk menyambung belajar dan menghabiskan pengajian pada masanya. Selepas ini, saya akan berkhidmat di negara ini, mungkin di IPTA, mungkin juga di institut penyelidikan," - Mohamad Fariz Haiqal Mohd Ruslan.
"Pertama sekali, saya ingin bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kerana telah mengurniakan anugerah yang berprestij ini. Sekarang saya bekerja sebagai seorang pegawai farmasi di Hospital Melaka. Rancangan saya adalah untuk menghabiskan pelajaran dengan jayanya dalam masa yang ditentukan dan balik berkhidmat untuk negara," - Karen Low Ka Ling.
Sebanyak 225 penerima dianugerahkan BYDPA sejak biasiswa itu diperkenalkan pada 2006, meliputi 117 penerima peringkat PhD dan 108 penerima peringkat Sarjana bagi pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Ekonomi, Undang-Undang, Kewangan Islam dan Kecerdasan Buatan (AI).