KUALA LUMPUR, 13 Januari – MRT Corporation (MRT Corp) telah menandatangani perjanjian Kontrak Utama Sivil (CMC) bagi segmen pertama projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara bersama SRS Consortium dengan nilai keseluruhan RM8.31 bilion.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata projek tersebut akan menghubungkan Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang-A (PSR-A) ke KOMTAR melalui jajaran sepanjang 24 kilometer, melibatkan 21 stesen termasuk satu stesen provisional di PSR-A.
“SRS Consortium merupakan konsortium yang diketuai Gamuda Berhad, dengan pengalaman luas dalam projek infrastruktur. Mereka telah terlibat sejak awal projek ini, termasuk dalam kajian teknikal dan mendapatkan kelulusan penting.
“Proses rundingan perolehan antara MRT Corp dan SRS Consortium telah berlangsung sejak April 2024 secara teliti dan menyeluruh,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut di ibu negara.
Beliau turut menegaskan kerjasama antara kerajaan dan MRT Corp bertujuan memastikan peruntukan kerajaan persekutuan dimanfaatkan sebaik mungkin, sekaligus memberikan nilai terbaik daripada pelaburan yang dilakukan.
LRT Laluan Mutiara dijangka mempunyai jajaran sepanjang 29.5 kilometer, dengan stesen-stesen strategik yang diharap mampu meningkatkan kesalinghubungan dan memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan terlibat.