fb fb fb fb fb

Kadar NPL berjaya diturunkan kepada 9 peratus

Majlis Perasmian Pejabat TEKUN Nasional Sungai Siput/ Foto Facebook Ewon Benedict Official Media

SUNGAI SIPUT, 13 Januari- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) berjaya mengurangkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) kepada sembilan peratus, setakat ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedict berkata, kadar itu berjaya diturunkan daripada 10 peratus sebelum ini.

Beliau berkata kejayaan itu hasil komitmen warga kerja TEKUN Nasional menerusi kutipan semula pinjaman berkenaan dalam memastikan peminjam membayar mengikut jadual yang dipersetujui.

"Pengurusan tertinggi TEKUN, pengurusan cawangan di negeri-negeri turun ke lapangan mengadakan pertemuan-pertemuan dengan usahawan-usahawan ini, bukan hanya untuk memastikan pinjaman mereka dibayar mengikut jadual, tetapi juga memaklumkan mereka mengenai inisiatif-inisiatif semasa tekun dan juga inisiatif semasa kerajaan yang lain", katanya.

" Jadi, saya beri penghargaan setinggi-tingginya kepada TEKUN Nasional kerana berjaya menurunkan kadar NPL kepada dua angka kepada satu angka", katanya.

Tambahnya, kejayaan itu juga hasil persefahaman dengan peminjam dalam kalangan usahawan-usahawan TEKUN Nasional. Bayaran balik tersebut dapat memastikan pembiayaan disalurkan kepada usahawan-usahawan baharu.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pejabat Tekun Nasional Cawangan Sungai Siput.

ROSLINA BINTI DIN