ALOR SETAR, 13 Januari – Tiga nelayan tempatan yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Payar sejak Khamis lalu telah disahkan selamat selepas salah seorang mangsa berjaya menghubungi keluarganya tengah hari tadi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata maklumat diterima daripada adik salah seorang mangsa menyatakan mereka telah menghubungi ibu mereka dan memaklumkan keadaan mereka selamat.
"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah berhubung dengan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia, yang mengesahkan bahawa ketiga-tiga nelayan tersebut diselamatkan oleh nelayan Aceh Tamiang dan berada dalam keadaan baik," menurut Maritim Malaysia menerusi kenyataan.
Maritim Malaysia melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi kini sedang mengatur rundingan dengan BASARNAS bagi urusan membawa pulang mangsa.
Susulan penemuan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dihentikan pada pukul 3.50 petang tadi.