fb fb fb fb fb

Projek LCS tetap diteruskan- PM

(Projek LCS /BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 27 Mei- Projek Perolehan Kapal Second Generation Patrol Vessel, SGPV berkeupayaan Littoral Combat Ship, LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia tetap diteruskan.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejumlah RM6 bilion telah dibelanjakan untuk projek tersebut.

Kerajaan katanya tidak mempunyai pilihan selain mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek tersebut iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), supaya projek berkenaan dapat diselesaikan.

"Kerana ada projek-projek yang sedang berjalan dan mesti diteruskan termasuk LCS. Projek itu sudah menelan belanja RM6 bilion, jadi kita tidak boleh tutup, kita kena ambil alih untuk menyelesaikan projek itu,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke-40 di Pusat Dagangan Dunia.

Terdahulu, Kementerian Kewangan telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek LCS iaitu BNS, sebagai anak syarikat kepada MOF.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengeluarkan kenyataan lengkap berhubung pengambilalihan syarikat itu.

Sebelum ini pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada seunit pun telah disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion menerusi BNS.


(Perdana Menteri berucap ketika pelancaran Pesta Buku Antarabangsa
Kuala Lumpur ke-40 di Pusat Dagangan Dunia / BERNAMA)

Media Baharu