(Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul)
KUALA LUMPUR, 27 Mei- Masyarakat yang berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian dapat melahirkan bangsa Malaysia yang budiman, demi melestarikan kehidupan bertamadun tinggi.
Malah, kemajuan yang dikecapi negara perlu mengikut acuan sendiri dengan mengamalkan nilai-nilai budi sebagai keutamaan.
Selain menjadi kunci ke arah memelihara keharmonian masyarakat di negara ini, ia juga selari dengan Konsep Madani yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; yang menekankan pembentukan rakyat bertamadun, bebas memberi pandangan dan memupuk perpaduan.
Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, dalam agenda pembangunan negara, semua pihak harus ada kesedaran untuk memberikan nafas yang sinergistik kerana ia adalah ikhtiar konsep MADANI dalam memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan.
"Konsep madani sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan, dengan memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak.
"Agenda pembangunan negara harus menanggapi soal keyakinan dan kemanusiaan, harus ada kesedaran daripada semua pihak bukan sahaja di peringkat agensi kerajaan, malah pihak swasta juga harus memberi nafas yang sinergistik kepada keampuhan leluhur bangsa daripada semua kaum dan agama di negara ini,"kata Datuk Johari ketika berucap merasmikan Program Siri Syarahan Parlimen 2.0 Tahun 2023 dengan tema “Budi Membentuk Tamadun Dalam Konteks Masyarakat Madani”.
Program pimpinan Yang diPertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim yang bertindak selaku moderator; dibarisi dua panel iaitu Ahli Dewan Rakyat Kawasan Subang,Wong Chen serta Felo Kuwait dalam Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam dan Pensyarah Pusat Pengajian Islam, Fakulti Teologi, Universiti Oxford; Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti.
Penganjuran Program Syarahan Parlimen yang kini memasuki siri kedua akan diteruskan sebagai acara bulanan bagi membolehkan masyarakat memberikan pandangan berhubung cara tadbir urus negara yang baik.
Datuk Johari Abdul berkata ini penting kerana Parlimen bukan sahaja institusi yang menguruskan hal perundangan negara, tetapi juga berperanan dalam membentuk kepimpinan yang berwibawa untuk masa depan.
(Program Syarahan Parlimen menampilkan Senator Tan
Sri Dr Rais Yatim yang bertindak selaku moderator)