fb fb fb fb fb

Projek Ladang Hutan di Hutan Simpan Sabal akan dilaksanakan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof meninjau Projek Model Ladang Hutan di Hutan Simpan Sabal, Simunjan seterusnya menyempurnakan Trek Komoditi Industri Perkayuan (Ladang Hutan) Sarawak/FOTO Facebook Fadillah Yusof

SIMUNJAN, 26 November - Kementerian Perladangan dan Komoditi sedia menyokong permohonan Jabatan Hutan Sarawak bagi mengembangkan fungsi Pusat Kajian Perhutanan di Hutan Simpan Sabal, di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof berkata permohonan itu akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

"Objektif penubuhan ladang hutan adalah bagi menampung keperluan bahan mentah industri perkayuan dan mengurangkan kebergantungan terhadap hutan asli sedia ada.

“Saya sokong untuk dikemukakan kepada peringkat Persekutuan tetapi kita perlu tunggu RMK-13 sebab kini dah penghujung RMK-12. Saya akan berada di sana untuk menyokong atau dalam bahasa Bidayuh ‘sokong nog kobos’ (sokong sampai mati),” katanya.

Fadillah berkata demikian ketika berucap pada program Trek Komoditi 2023 Zon Sarawak di Hutan Simpan Sabal, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata peruntukan pengurusan hutan bagi menangani kebakaran di Hutan Simpan Sabal juga boleh disegerakan untuk dimasukkan dalam peruntukkan kementerian.

Dalam pada itu, Fadillah menerusi hantaran di Facebook berkata, inisiatif penubuhan ladang hutan di Sarawak telah bermula sejak tahun 1997 dan sehingga 30 Jun 2023.

"Seluas 578,774.16 hektar ladang hutan telah dibangunkan di Sarawak melibatkan pelbagai spesies seperti Acacia Mangium (54%), Batai (19%), Eucalyptus (15%), Kelampayan (6%) dan lain-lain spesies (6%).

"Model Projek Ladang Hutan ini merupakan kerjasama antara Jabatan Hutan Sarawak dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bermula pada tahun 2010, bertujuan untuk memberi panduan dalam pengurusan dan pembangunan ladang hutan di Sarawak," katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad memohon satu projek pembangunan untuk mengembangkan fungsi dan skop Model Ladang Hutan Sabal.

Rancangan tersebut turut merangkumi penubuhan dan pembangunan pusat penyelidikan, penubuhan tapak kajian penanaman, penambahbaikan infrastruktur sedia ada dan perolehan fasiliti keperluan operasi tapak semaian.

Turut dicadangkan penyediaan kemudahan untuk menjalankan program Komunikasi; Pendidikan dan Kesedaran Awam; latihan; galeri dan stesen kawalan kebakaran hutan.

GRACE AISYAH KEDAYAN