KOTA MARUDU, 26 November - Pelaksanaan pengesahan identiti pengguna (eKYC) ditetapkan sebagai syarat baharu kepada semua platform media sosial menjelang penghujung suku kedua tahun 2026.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata tindakan itu sebagai langkah utama membanteras akaun palsu, scam dan judi dalam talian.
Pengesahan identiti menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID akan memastikan setiap pengguna dikenal pasti secara sah, sekali gus mengukuhkan keselamatan ruang digital negara.
"Banyak daripada scammer dan judi dalam talian menggunakan akaun yang palsu. Jadi kita berhasrat untuk menggunakan proses Electronic Know Your Customer (eKYC), untuk membuat perkesahan identiti. Satu, menghalang anak-anak bawah usia 16 tahun dari memiliki akaun media sosial," kata beliau selepas merasmikan Program Hari bersama Komuniti NADI di Kota Marudu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memulakan libat urus dengan platform media sosial dalam tempoh munasabah, sambil meneliti mekanisme yang digunakan di Australia termasuk pembekuan akaun pengguna bawah umur.
Langkah pengesahan identiti berkenaan, menjadi elemen teras memastikan penggunaan media sosial lebih bertanggungjawab dan mengurangkan ruang manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.