fb fb fb fb fb

Majlis Anugerah Zakat martabat zakat instrumen kesejahteraan ummah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

PUTRAJAYA, 26 November - Majlis Anugerah Zakat Kebangsaan 2025 sekali lagi mengangkat komitmen negara dalam memartabatkan institusi zakat sebagai instrumen penting kesejahteraan ummah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa zakat merupakan amanah besar yang wajib ditunaikan serta perlu diurus dengan integriti dan ketelusan bagi mengekalkan keyakinan masyarakat.

"Sesungguhnya pengurusan zakat adalah amanah besar yang menuntut ketelitian dan pengawasan berterusan agar keyakinan masyarakat terus terpelihara dan utuh.

Ia tidak hanya memberi bantuan sementara, tetapi dalam pelaksanaan yang strategik, mampu menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi penerima, membolehkan mereka bangkit daripada ketergantungan kepada kemandirian", katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Majlis Anugerah Zakat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Putrajaya.

Majlis anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) itu turut meraikan usaha Majlis Agama Islam Negeri dan agensi mengurus zakat yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi ummah.

Dalam ucapannya, Datuk Dr Mohd Na'im turut mengingatkan semua pihak agar mengambil iktibar daripada insiden salah guna kuasa berkaitan dana zakat yang berlaku sebelum ini yang memberi kesan terhadap persepsi masyarakat walaupun bersifat terpencil.

Beliau turut menekankan kepentingan institusi zakat bergerak seiring dengan reformasi pentadbiran moden, termasuk pemerkasaan ekonomi asnaf melalui program keusahawanan, pendidikan dan sosial.

Majlis turut meraikan para penerima Anugerah Zakat Kebangsaan 2025 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar mereka dalam memperkukuh institusi zakat negara.

ROSLINA BINTI DIN