fb fb fb fb fb

Amaran ribut petir, hujan lebat dalam tempoh panjang di utara Semenanjung

Foto hiasan

PETALING JAYA, 26 November- Ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang dijangka berlaku di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia termasuk kawasan perairan negeri-negeri berkenaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan berkata berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan monsun lemah dijangka berlaku sehingga 30 November 2023, (Khamis). Penumpuan angin juga dijangka berlaku di kawasan utara Selat Melaka sehingga esok.

"Sehubungan itu, MET Malaysia telah mengemas kini Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa sehingga 27 November 2023.

"Manakala, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora berkuat kuasa sehingga 28 November 2023 (Selasa).

Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku dalam tempoh berkenaan.

Orang awam juga dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

ROSLINA BINTI DIN