PARIT BUNTAR, 26 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau secara agresif projek pembinaan hospital yang dikenal pasti sebagai “projek sakit” bagi mengatasi isu kelewatan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata kementerian kini mengambil langkah mengikut nasihat Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk mengenakan denda Liquidated Ascertained Damages (LAD) terhadap kontraktor terlibat, selain mencari penyelesaian yang lebih berkesan.
Menurutnya, kelewatan pembinaan bukan sahaja berpunca daripada faktor teknikal, malah turut melibatkan isu birokrasi tanah, kegagalan penyelarasan antara agensi, serta cabaran luaran lain.
“Terdapat elemen seperti masalah kekurangan bekalan buruh, selain situasi geopolitik dunia yang memberi kesan kepada kenaikan kos beberapa bahan mentah pembinaan. Kontraktor juga perlu lebih cekap dan mahir dalam memastikan jadual pelaksanaan projek dapat dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Hospital Parit Buntar, hari ini.
Hospital tersebut dijangka memulakan operasi pada 3 September ini dengan kos keseluruhan sebanyak RM173.3 juta, di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Projek pembinaan secara konvensional itu melibatkan enam blok bangunan tiga tingkat, yang direka khusus untuk menjamin keselesaan petugas kesihatan serta orang awam.