fb fb fb fb fb

KPK mohon pengecualian SST 5% bagi minyak isirung sawit mentah dan olein

Pemain industri sawit rayu, KPK bawa isu pengecualian SST ke MOF / Foto ARKIB BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) kini sedang mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas minyak isirung sawit mentah (CPKO) dan minyak isirung olein.

Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin, berkata langkah itu diambil selepas meneliti maklum balas daripada pemain industri sawit berhubung impak pelaksanaan SST sebanyak lima peratus.

“Pengecualian ini wajar diberikan memandangkan kedua-duanya merupakan bahan mentah dalam pengeluaran produk oleokimia dan bukannya produk akhir yang dikenakan cukai oleh kerajaan. Cadangan berkaitan pengecualian atau pelepasan SST bagi perkhidmatan tertentu yang kritikal kepada operasi industri juga telah diambil kira bagi mengurangkan tekanan kos kepada pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang ingin mengetahui kesan pengembangan SST terhadap industri sawit, khususnya sektor hiliran oleokimia.

HASRON BIN HASSAN