KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Malaysia dijangka muncul sebagai hab utama pemasangan dan penyelenggaraan helikopter (MRO) di Asia Tenggara menerusi pembangunan sebuah kilang baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata projek berimpak tinggi itu adalah lanjutan daripada perjanjian konsesi antara Kerajaan Malaysia dan Weststar Aviation Sdn Bhd yang dimeterai pada Disember 2024, melibatkan pajakan 28 unit helikopter untuk kegunaan pelbagai agensi kerajaan.
“Projek ini dijangka menjadikan Malaysia sebagai hab pemasangan dan penyelenggaraan helikopter MRO terbesar di Asia Tenggara, selain memberi impak positif kepada ekonomi negara serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor aeroangkasa,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menambah, berdasarkan Klausa 8 perjanjian konsesi tersebut, Weststar Aviation turut diberi tanggungjawab menjalin kerjasama strategik dengan pengeluar helikopter antarabangsa termasuk membangunkan fasiliti pemasangan dalam negara.
Menurut Adly, langkah itu bukan sahaja mengukuhkan keupayaan industri pertahanan dan aeroangkasa, malah memberi kesan positif kepada ekonomi setempat melalui pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh rantaian bekalan industri aeroangkasa tempatan serta menarik lebih banyak pelaburan strategik berteknologi tinggi ke Malaysia.