fb fb fb fb fb

Projek Fasa 2 SSLR, LTB bermula awal tahun depan - PM

(Ismail Sabri berucap pada perasmian pembukaan laluan
Seksyen Pujut WPC11 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Miri)

MIRI, 7 Ogos- Kerajaan Persekutuan meluluskan Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) yang menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas, dengan pembinaannya akan bermula seawal tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penelitian teknikal bagi projek Fasa 2 SSLR dan LTB itu kini di peringkat akhir, dengan pembinaannya dijangka memakan tempoh selama tiga hingga lima tahun.

Beliau berkata projek tersebut bukan sahaja membolehkan penduduk kawasan utara Sarawak menuju ke Sabah melalui dua opsyen jaringan jalan raya, malah memberi manfaat kepada penduduk sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama.

(FOTO BERNAMA)

Jelasnya, pengguna dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui Brunei menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96 kilometer yang bakal ditambah baik kepada dua lorong untuk perjalanan dua hala.

"Bagi mereka yang tidak mahu melalui Brunei, boleh menggunakan jajaran fasa 2 projek SSLR sepanjang 326 kilometer yang merupakan kesinambungan fasa 1 dan projek SSLR dari simpang Gelugus ke Long Lopeng sepanjang 77 kilometer," katanya dalam ucapan perasmian pembukaan laluan Seksyen Pujut WPC11 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, di sini hari ini.

Skop pembinaan Seksyen Pujut ini antaranya melibatkan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan sedia ada, pembinaan dua jambatan dan empat hentian bas yang telah bermula pada 1 November 2016 dan siap sepenuhnya 2 Julai lepas.

Beliau berkata projek itu juga bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang jajarannya.

"Seksyen Pujut Lebuhraya Pan Borneo adalah laluan sepanjang 15.9 kilometer yang menghubungkan persimpangan Lapangan Terbang Miri dan Pujut Link Road dengan anggaran kos pembinaannya berjumlah RM470 juta," katanya.

Media Baharu