fb fb fb fb fb

Maritim tahan 7 bot padat penumpang, 14 kru disiasat

Antara bot yang dikenal pasti membawa lebihan had muatan penumpang semalam/Foto Maritim Malaysia

KUALA TERENGGANU, 21 Julai - Maritim Malaysia menahan tujuh buah bot bawa pelancong selepas didapati melakukan pelbagai pelanggaran undang-undang dalam satu operasi khas di perairan Pulau Redang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, operasi khas itu turut memeriksa 26 bot penumpang sebelum tujuh daripadanya ditahan kerana melakukan kesalahan serius.

Antara kesalahan dikesan termasuk membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan, tiada senarai nama penumpang, nama nakhoda tidak seperti dalam lesen serta lesen operasi tamat tempoh.

“Paling mengejutkan, ada bot yang berani membawa sehingga 42 orang penumpang dalam satu perjalanan, sekali gus mempertaruhkan keselamatan setiap nyawa yang menaikinya. Ini bukan kesalahan kecil, ini kes cuai yang boleh meragut nyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua kru dan nahkoda seramai 14 orang kini disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Beliau menegaskan Maritim tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mengutamakan keselamatan penumpang.

“Maritim Malaysia melihat trend kebelakangan ini sangat membimbangkan kerana kelalaian terus berulang walaupun pelbagai amaran sudah dikeluarkan. Ini bukan masa untuk beri amaran, ini masa untuk bertindak tegas,” katanya.

Hamiludin turut mengingatkan orang ramai supaya lebih peka dan segera melaporkan sebarang aktiviti berisiko tinggi kepada pihak berkuasa.

“Keselamatan laut bukan tugas Maritim Malaysia semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama. Jangan tunggu tragedi berlaku, baru mahu bertindak,” katanya.

Maritim Malaysia akan memperhebat operasi penguatkuasaan di kawasan tumpuan pelancong menjelang cuti sekolah dan perayaan bagi memastikan tragedi sama tidak berulang.

GRACE AISYAH KEDAYAN