fb fb fb fb fb

Kerjasama sekolah, pihak luar cungkil bakat baharu murid dalam sukan - Radzi

PUTRAJAYA, 7 Ogos- Pihak sekolah digalak bekerjasama dengan pelbagai pihak luar bagi memastikan lebih banyak bakat baharu dalam bidang sukan dapat dicungkil dalam kalangan murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata kementerian sentiasa memastikan bahawa potensi dan bakat yang ada dalam kalangan murid dalam bidang itu dapat dioptimumkan.

Usaha itu termasuk bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mengasuh bakat sukan bola sepak melalui program 'My Little League' yang dilancarkan beberapa minggu lalu.

Selain, pencarian bakat dalam sepak takraw yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Dan kita tahu bahawa di bawah sana di peringkat sekolah banyak bakat-bakat mereka yang berkebolehan namun begitu ia tidak dioptimumkna potensi mereka.

"Oleh sebab itu kami di kementerian berusaha keras untuk memastikan supaya anak-anak kita ini bukan saja dalam bidang akademik tetapi apa juga bidang yang mereka mempunyai kekuatan dapat kita optimumkan kekuatan mereka," katanya.

(Radzi Jidin)

Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan penutup Kejohanan Bola Tampar Amatur Putrajaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1), di sini hari ini.

Tambah Radzi, beliau turut mengharapkan kerjasama pelbagai pihak terutamanya badan korporat dan swasta bagi pembangunan akademik dan kokurikulum, termasuk membabitkan penyelenggaraan kemudahan sukan di sekolah.

Media Baharu