KUALA LUMPUR, 21 Julai - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama erat bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Program Jalan Tanpa Debu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed, program tersebut merupakan projek rintis yang bertujuan meningkatkan tahap kebersihan, terutama di kawasan perniagaan dan laluan awam yang menjadi tumpuan warga kota.
Beliau berkata, SWCorp juga dalam perancangan untuk menggunakan teknologi pembersihan yang lebih moden dan efisien mulai tahun hadapan, bagi memperkukuh usaha memastikan kawasan persekitaran bebas daripada pencemaran debu dan sisa kotoran.
"Ini adalah projek rintis pertama dan kami percaya dengan pelaksanaan secara berkala, kawasan perniagaan ini akan mempunyai wajah baru yang lebih bersih, bebas daripada habuk serta lebih sihat," katanya kepada pemberita pada Program Jalan Tanpa Debu di sini, hari ini.
Menurut Khalid, projek rintis itu turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan syarikat konsesi Alam Flora Sdn Bhd.
"Kami berharap tahap kebersihan di kawasan ini dapat mencapai piawaian negara-negara maju.
"Masalah habuk, khususnya di kawasan penjaja, bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi juga berpotensi menjejaskan kesihatan masyarakat setempat," ujarnya.
Tambah beliau, pengalaman SWCorp semasa lawatan kerja ke Shanghai, China, dijadikan sebagai penanda aras terbaik dalam memperkenalkan pendekatan berasaskan teknologi moden di Malaysia.
“Teknologi canggih yang digunakan di Shanghai membuktikan keberkesanannya. Beberapa kawasan di negara ini yang telah melaksanakan projek ini sejak dua bulan lalu juga menunjukkan kesan positif,” katanya.