KUALA LUMPUR, 21 Julai - Kerajaan komited untuk memperkukuh perlindungan terhadap pemberi maklumat, khususnya dalam kes berprofil tinggi, melalui pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, antara cadangan utama pindaan itu ialah penubuhan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat, yang akan menyelia pelaksanaan Akta oleh agensi penguat kuasa serta mengumpul statistik dan data berkaitan aduan serta pendedahan dibuat di bawah Akta tersebut.
Cadangan pindaan turut melibatkan penambahbaikan terhadap Seksyen 6 bagi memastikan perlindungan terhadap pemberi maklumat kekal sah, walaupun pendedahan dibuat melibatkan peruntukan kerahsiaan atau tatacara khas di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain.
"Seksyen 8 Akta 711 berkaitan kerahsiaan maklumat kekal berkuat kuasa secara automatik terhadap semua individu yang diiktiraf sebagai pemberi maklumat.
"Identiti dan sebarang maklumat berkaitan mereka tidak boleh didedahkan tanpa kebenaran, kecuali untuk tujuan siasatan atau prosiding undang-undang seperti diperuntukkan dalam Akta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong di Dewan Rakyat hari ini, berhubung status terkini serta perancangan kerajaan dalam menjaga keselamatan dan perlindungan terhadap pemberi maklumat.
Pindaan kepada Akta 711 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen pada 6 Mac lalu, bagi Fasa Pertama Inisiatif Reformasi Undang-Undang dan Tadbir Urus dalam sistem perundangan negara.