fb fb fb fb fb

Industri air negara tenat, MWA gesa semakan segera tarif

Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Mohamad Hairi Basri/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Industri perkhidmatan air negara kini berada pada tahap kritikal susulan tekanan kos operasi yang semakin tinggi, infrastruktur usang dan lonjakan permintaan daripada sektor-sektor baharu.

Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Mohamad Hairi Basri berkata, faktor-faktor itu menuntut perhatian serius pihak berkaitan, khususnya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), untuk mempertimbangkan semakan struktur tarif air di negeri-negeri yang terjejas.

“Kita bukan hanya berdepan dengan tekanan kos bahan kimia dan tenaga elektrik, tetapi juga perlu menyelenggara lebih 150,000 kilometer sistem paip yang semakin usang.

"Pada masa sama, permintaan air meningkat drastik akibat pembangunan pusat data dan pertumbuhan populasi,” katanya demikian ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia yang membincangkan cabaran masa depan industri air dalam era teknologi dan pembangunan pesat.

Tambahnya, sektor air memerlukan suntikan dana secara konsisten bagi memastikan pembangunan aset baharu dan penyelenggaraan infrastruktur kritikal dapat dilaksanakan secara berterusan.

Beliau turut menegaskan bahawa industri air kini bergerak seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0, antaranya melalui penggunaan teknologi pintar bagi mengurangkan kadar non-revenue water (NRW) atau air tidak berhasil.

“Teknologi moden membolehkan kita mengesan kebocoran lebih awal dan melakukan baik pulih segera. Ini bukan sahaja menjimatkan air, tetapi meningkatkan kecekapan sistem secara menyeluruh,” jelas beliau.

Mohamad Hairi juga menegaskan bahawa air bukanlah satu sumber percuma kerana proses rawatannya memerlukan kos tinggi bermula daripada pengambilan air mentah, rawatan, pengedaran, hingga penyelenggaraan loji dan paip.

Sehubungan itu, beliau menyokong pelaksanaan dasar pemulihan kos penuh (full cost recovery), di mana kutipan tarif digunakan sepenuhnya untuk menampung kos operasi serta pembiayaan aset dan infrastruktur baharu.

“Kami percaya struktur tarif yang lebih mampan akan membolehkan operator air menyediakan perkhidmatan yang berkualiti, bersih dan berterusan kepada rakyat, serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Setakat ini, beberapa negeri telah mengemukakan permohonan kepada SPAN untuk menyemak semula kadar tarif air, sejajar dengan peningkatan keperluan dan cabaran semasa industri.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD