KUALA LUMPUR, 21 Julai - Ketersediaan negara serantau dalam pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI), antara menjadi fokus Sidang AI ASEAN 2025 yang dijadual berlangsung bermula 12 hingga 13 Ogos 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Selain mengenal pasti cabaran masa depan, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata sidang akan membincangkan kesepakatan negara terlibat dalam mendepani cabaran tersebut.
"Kita mengumpulkan semua minda (pakar) dari negara-negara serantau dan peringkat global bagi membincangkan berkaitan ketersediaan.
"Kita juga akan membincangkan bagaimana untuk bersama-sama menghadapi cabaran akan datang supaya semua negara bersedia berdepan dengan cabaran berkenaan," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar mengenai persediaan kerajaan dalam mendepani cabaran gelombang AI di sini.
Kerajaan menerusi Kementerian Digital turut giat melaksanakan siri mesyuarat dengan negara-negara terlibat bagi memperkukuh ekosistem AI di negara ini.
Ini termasuk penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN yang diadakan setiap tahun bagi membincangkan perkembangan pengadaptasian AI di negara masing-masing.