fb fb fb fb fb

Datuk Hussein Omar Khan Ketua baharu JSJN

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Julai  – Bekas Ketua Polis Selangor, Komisioner Polis Datuk Hussein bin Omar Khan dilantik secara rasmi sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang baharu, menggantikan pemangku terdahulu, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin bin Che Ali.

Pelantikan itu dimuktamadkan menerusi Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) JSJN yang berlangsung dalam suasana penuh istiadat dan tertib.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pelantikan Datuk Hussein mencerminkan keyakinan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pengalaman luas dan kewibawaan beliau dalam bidang siasatan jenayah.

“Saya optimis beliau mampu memimpin dan memperkasakan lagi peranan JSJN dalam menangani cabaran jenayah narkotik yang semakin kompleks dan dinamik.

"Saya juga percaya Datuk Hussein akan dapat menggembleng dan memacu modal insan JSJN ke arah penyampaian perkhidmatan yang berkualiti secara berterusan", katanya pada Majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam majlis yang sama, Yang Berbahagia Datin Liliyana Haryanti Datuk Mohd Harunizam turut dilantik sebagai Pengerusi PERKEP JSJN yang baharu.

Beliau sebelum ini pernah menerajui PERKEP Kontinjen Selangor dan diyakini dapat menyuntik semangat baharu dalam memperkukuh kebajikan keluarga warga JSJN.

Datuk Seri Mohd Khalid turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Mat Zani atas khidmat cemerlang sepanjang memangku jawatan Pengarah JSJN.

Penghargaan turut diberikan kepada Datin Rosmini Ibrahim atas dedikasi beliau dalam menerajui PERKEP JSJN walaupun dalam tempoh yang singkat.

Dalam ucapannya, Ketua Polis Negara menyeru seluruh warga PDRM agar terus menyokong barisan kepimpinan tertinggi Pasukan dengan mengekalkan semangat kerjasama, integriti dan profesionalisme yang tinggi.

Tegas beliau, PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku kerana menjaga imej dan kepercayaan rakyat adalah tanggungjawab utama pasukan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD