KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Pembinaan keseluruhan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah mencapai kemajuan lebih 50 peratus, setakat Ogos tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata tahun ini merupakan tahun puncak pembinaan ECRL melibatkan kerja-kerja struktur utama seperti pemasangan rasuk, pembinaan stesen dan pemasangan landasan.
Pada masa ini kerja-kerja pembinaan seperti pembinaan jambatan, kerja pengorekan, struktur dan pembinaan terowong sedang giat dijalankan di sepanjang jajaran ECRL.
"Kontraktor utama projek ECRL adalah China Communications Construction Sdn Bhd yang juga merupakan kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan.
"Sehingga 31 Ogos 2023, pihak kontraktor utama telah melantik pelbagai syarikat tempatan yang secara keseluruhannya berjumlah 2,785 syarikat terdiri daripada subkontraktor, konsultan, pembekal serta pemberi perkhidmatan," kata Hasbi ketika menjawab wakil Kuantan, Wan Razali Wan Nor yang ingin mengetahui status terkini perkembangan projek ECRL di Dewan Rakyat, di sini.
(Foto BERNAMA)