KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan program penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi hanya akan melibatkan semua murid Islam sahaja.
Menteri KPM, Fadhlina Sidek berkata pelaksanaan aktiviti tersebut akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SMBK).
Tambah Fadhlina, kesemua pengisiannya dibangunkan oleh KPM dan diselaraskan dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan syarah atau kupasan hadis dalam modul tersebut sesuai dengan tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.
"Modul penghayatan ini bukanlah mata pelajaran baharu, namun modul tersebut merupakan bahan pengayaan bagi mata pelajaran Pendidikan Islam. Oleh yang demikian, modul yang digunakan tiada pertindihan dengan mata pelajaran Pendidikan Islam sedia ada.
KPM merancang untuk melaksanakan peluasan aktiviti penghayatan ini ke semua sekolah KPM yang hanya akan melibatkan murid beragama Islam sahaja mulai tahun 2024," kata Fadhlina di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan yang dikemukan oleh wakil Masjid Tanah Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin.
(FOTO BERNAMA)