fb fb fb fb fb

Banjir kilat di Kedah, penduduk mula jalankan aktiviti pembersihan

GURUN, 17 Oktober- 74 penduduk melibatkan 21 keluarga di Mukim Gurun, Kedah terjejas selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat.
 
Hujan lebat yang turun malam semalam menyebabkan air sungai naik dengan cepat dan melimpah memasuki kediaman penduduk.
 
Bagaimanapun, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, setakat ini.
 
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (Pertahanan Awam) Azahar Ahmad berkata, antara kawasan terlibat adalah Kampung Sungai Kunyit, Kampung Sungai Badak, Kampung Jelatang dan Kampung Belakang Mahkamah Gurun.
 
Turut terlibat, Kampung Pekan Atap dan Kampung Tepi Taman Gurun Jaya/Ladang Hock Kim.
 
Beliau berkata kebanyakan rumah mangsa terletak di kawasan rendah atau berhampiran sungai dan air naik setinggi antara 0.3 meter hingga 0.5 meter.
 
Kejadian tersebut telah menyebabkan kerosakan harta benda penduduk.
 
Paras air mulai surut dengan cuaca yang bertambah baik, cerah dan panas membenarkan beberapa penduduk menjalankan aktiviti pembersihan melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.



 

Media Baharu