KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Cadangan meminda Akta Akauntan 1967 masih lagi di peringkat kajian dan belum dibuat sebarang keputusan dasar sama ada di peringkat Kementerian Kewangan atau di peringkat Jemaah Menteri.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan, kerajaan akan memastikan supaya sebarang cadangan pindaan dan kesannya kepada pihak-pihak yang berkepentingan diperhalusi.
“Dalam persidangan Akauntan Antarabangsa pada Jun 2023 di KLCC yang saya rasmikan, ada mencadangkan kemungkinan pindaan boleh dibuat pada tahun hadapan.
“Kerajaan kini sedang meneliti cadangan pindaan perundangan yang diperlukan bagi menangani isu-isu yang dihadapi dalam profesion perakaunan dan sedang serta akan mengadakan libat urus dengan pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Ser Dr Wee Ka Siong.
Kata Ahmad Maslan, kajian tersebut penting bagi memastikan sebarang cadangan dasar baharu yang dikemukakan bersifat inklusif, meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan, dan mengambil kira kehendak serta keperluan untuk profesion perakaunan.
Terdahulu, Ka Siong meminta Kementerian Kewangan menyatakan maklum balas dan perkembangan terkini berkenaan pindaan akta tersebut.
(Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan)