PUTRAJAYA, 17 Oktober- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.040 Kemaman, Terengganu pada 2 Disember depan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon ditetapkan 18 November, manakala tarikh mengundi awal pada 28 November 2023.
Jelasnya, bagi menjalankan proses PRK Parlimen Kemaman, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tujuh orang Penolong Pegawai Pengurus.
PRK Parlimen Kemaman dijalankan menerusi peruntukan berjumlah RM3.5 juta.
"Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah daftar pemilih terkini sehingga daftar pemilih tambahan bulan Ogos 2023 yang dikemaskini sehingga 3 Oktober 2023."
"DPPR ini mengandungi 141,790 orang pemilih," kata Abdul Ghani dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas bagi PRK Parlimen Kemaman di ibu pejabat SPR, di sini.
(Foto FB SPR)
Seramai 2,102 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK dengan keseluruhan jumlah pusat mengundi sebanyak 53 buah membabitkan 248 saluran.
Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan adalah di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman.
Pada 26 September lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili PAS setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Rentetan itu, pada 3 Oktober lepas PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.