KUALA LUMPUR, 1 Januari -Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang bermula hari ini menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
Dalam kenyataan hari ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian.
Ini termasuk pelaksanaan langkah keselamatan berdasarkan tahap risiko, perlindungan khusus kepada kanak-kanak serta penyediaan mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.
"Akta berkenaan terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) atau Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998)," menurut kenyataan itu.
MCMC turut menegaskan bahawa ONSA tidak terpakai kepada pengguna individu.
Menurut kenyataan itu, peruntukan ‘deeming’ di bawah Seksyen 46A, AKM 1998 turut berkuat kuasa hari ini, menjadikan semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan tertakluk kepada kerangka pelesenan sedia ada serta diwajibkan mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk ONSA.
"Langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada pengawasan dan akauntabiliti yang bersesuaian," kata kenyataan itu.
Seiring dengan perkembangan ekosistem dalam talian negara, MCMC menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti secara menyeluruh bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
